Guru Perpustakaan dan Media (GPM)


Apakah yang dimaksudkan dengan Guru Perpustakaan dan Media (GPM)?


Dalam usaha untuk memantapkan dan memajukan lagi sistem pendidikan (rujukan KP (BS-DSR)8787/008/2 (10) bertarikh 18 Julai 2005), Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa memberi penekanan yang sewajarnya dalam pelaksanaan pelbagai program berkaitan Pusat Sumber Sekolah. Sehubungan itu, melalui Waran Peruntukan B.41 Kementerian Pelajaran Malaysia, setiap sekolah telah diperuntukkan seorang Guru Perpustakaan dan Media Sekolah (Penyelaras Pusat Sumber Sekolah) sepenuh masa. Pelantikan ini diharap dapat membantu meningkatkan keupayaan pengurusan dan kepimpinan pengurusan pusat sumber sekolah yang lebih cemerlang dan berkesan.




Apakah kriteria pelantikan GPM?


GPM yang dilantik perlu memenuhi kriteria berikut:
• Telah disahkan dalam jawatan
• Telah mengajar sekurang-kurangnya tiga tahun
• Mempunyai sijil, diploma atau ijazah dalam Sains Perpustakaan / Sains Pengurusan Maklumat / Teknologi Pendidikan, ATAU
• Menghadiri Kursus Asas Pengurusan Pusat Sumber Sekolah dalam masa setahun selepas lantikan
Pelantikan perlu dibuat berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2005, Penyelarasan Waktu Mengajar bagi Guru Penyelaras Bestari Serta Guru Perpustakaan dan Media (Guru Penyelaras Pusat Sumber Sekolah), bertarikh 18 Julai 2005. (Tertakluk kepada perubahan pekeliling semasa).




Apakah norma perjawatan GPM?


Setiap sekolah diperuntukkan seorang Guru Perpustakaan dan Media untuk mengetuai Pusat Sumber Sekolah.
GPM terdiri daripada:
• Sekolah Rendah – seorang (1) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma
• Sekolah Menengah - seorang (1) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah
GPM merupakan jawatan di luar norma di semua sekolah rendah dan menengah kecuali di Sekolah Kurang Murid (SKM).




Apakah peranan GPM?


GPM berperanan penting menyokong visi dan misi sekolah, membangunkan PSS dan menilai keberkesanan PSS. Beliau juga perlu bekerjasama dengan pentadbir dan guru untuk merancang pelan pembangunan PSS dan menyokong pelaksanaan kurikulum. GPM perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran menyediakan maklumat dan berkebolehan menyelesaikan masalah. Beliau perlu mengetuai program, aktiviti dan kempen galakan membaca dan galak guna PSS.
GPM juga perlu mempunyai kepakaran dalam menggunakan pelbagai jenis sumber bercetak, bukan cetak dan digital. Beliau perlu menyedia dan menguruskan semua dokumen dan rekod berkaitan perolehan, pendokumentasian dan perkhidmatan perpustakaan.




Apakah tugas GPM?


Sila rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2005 bertarikh 18 Julai 2005 Lampiran 2 dan Buku Panduan Pusat Sumber Sekolah Untuk Guru Perpustakaan dan Media.




Apakah bentuk kerjasama yang boleh dijalin antara GPM dan guru?


Kerjasama antara GPM dan guru adalah amat penting untuk memastikan perkhidmatan PSS yang maksimum. GPM dan guru perlu bekerjasama untuk mencapai aspek-aspek berikut:
• Membangun, mengurus, melaksana, dan menilai pembelajaran murid merentas kurikulum
• Membangun dan menilai kemahiran maklumat
• Membina rancangan pengajaran harian
• Menyedia dan melaksanakan kerja kursus atau pembelajaran berasaskan projek
• Menyedia dan melaksanakan program membaca
• Mengintegrasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam kurikulum
• Menerangkan kepentingan PSS dan pembacaan kepada ibu bapa




Apakah kemehiran yang perlu ada pada GPM?


Kemahiran asas yang perlu dimiliki oleh GPM  adalah seperti berikut:
• Berkomunikasi secara positif
• Memahami keperluan pengguna
• Bekerjasama dengan pelbagai pihak
• Mempunyai pengetahuan berkaitan kepelbagaian budaya
• Mempunyai pengetahuan berkaitan metodologi pembelajaran dan teori pendidikan
• Mempunyai pengetahuan berkaitan kemahiran dan penggunaan maklumat
• Mempunyai pengetahuan berkaitan koleksi bahan PSS dan cara mengaksesnya
• Mempunyai pengetahuan berkaitan kesusasteraan kanak-kanak, media dan budaya
• Mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengurusan dan pemasaran
• Mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi